Monday, March 29, 2010

KEPUTERAAN AL SULTAN KELANTAN. DAULAT TUANKU!


Tanggal 30 dan 31 Mac 2010 adalah merupakan ulangtahun keputeraan Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra. Sama-samalah kita doakan agar baginda kembali sihat sejahtera dan memerintah negeri Kelantan Darul Naim dengan aman dan sentosa. Daulat Tuanku! Daulat Tuanku! Daulat Tuanku!

Sunday, March 28, 2010

MESYUARAT PIBG SK SRI SURIA 1 SESI 2010

Mesyuarat PIBG telah diadakan pada Sabtu 27 Mac 2010 di Dewan Gemilang, SK Sri Suria 1 dan dirasmikan oleh YBhg. Dato' Ir Shaari bin Hj. Hassan, yang juga merupakan Yang diPertua PIBG.




PENCAPAIAN KOKURIKULUM SK SRI SURIA 1 2010

TAHNIAH DAN SYABAS!
1. JOHAN BOLA JARING TQE1
2. JOHAN KESELURUHAN OLAHRAGA TQE1
3. JOHAN BOLA SEPAK TQE1
4. NAIB JOHAN SEPAK TAKRAW TQE1

Saturday, March 27, 2010

MAKLUMAN PAMERAN BUKU DI SURIA 1

Makluman kepada semua guru, kakitangan serta murid SK Sri Suria (1). Pameran tersebut akan diadakan pada;
Tarikh       : 4 dan 5 April 2010
Tempat     : Dataran Suria SK Sri  Suria (1)
Masa        : 8.00pagi - 4.00 petang
Majlis ini akan dirasmikan oleh Tuan Guru Besar, SK Sri Suria 1. Kami berbesar hati menjemput murid-murid dan guru-guru dari sekolah-sekolah sekitar untuk sama-sama memeriahkan lagi pameran ini.

Thursday, March 25, 2010

SEKITAR PELANCARAN 'JOM KE SEKOLAH'

Tuan Guru Besar sedang menyampaikan ucapan.

Sekolah Kebangsaan Sri Suria (1) telah mengorak langkah untuk menjayakan  program  ’Jom Ke Sekolah’ pada 25 Mac 2010. Sasaran utama program ini adalah kepada semua murid, guru-guru serta ibu bapa. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha, En. Che Abdullah b Mohd, Pegawai Pelajaran Daerah Tanah Merah dan turut disertai oleh Yang diPertua PIBG, Dato’ Shaari bin Hj. Hassan. Dalam ucapan perasmian tersebut, Tuan PPD menekankan kepentingan tentang kehadiran murid ke sekolah. Kejayaan seseorang pelajar selalu dikaitkan dengan pemahaman dan tumpuan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.  Hampir semua pelajar cemerlang menyatakan bahawa rahsia utama kejayaan mereka adalah memberi fokus dan tumpuan semasa guru mengajar. 

Justeru, menghadirkan diri ke sekolah merupakan asas dalam menjayakan proses penyampaian ilmu kepada pelajar.  Pelajar yang hadir ke sekolah berpeluang memberi perhatian dan fokus semasa belajar dan sebaliknya pelajar yang hadir tidak akan mendapat apa-apa maklumat.    Malah apa yang lebih membimbangkan ialah pelajar yang tidak hadir ke sekolah atau ponteng sering pula terlibat dengan pelbagai masalah atau gejala sosial yang lain selain ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Tuan Pegawai Pelajaran Daerah sedang memberi sepatah dua kata seterusnya merasmikan majlis.




Pelajar-pelajar yang lemah dan gagal dalam peperiksaan merupakan golongan pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah. Oleh itu, program Jom Ke Sekolah ini diharapkan akan dapat meningkatkan fokus dan keprihatinan pihak ibu bapa dan semua pelajar dalam meningkatkan kecemerlangan sekolah dengan memaksimakan jumlah kehadiran pelajar ke sekolah. Hj. Tengku Hamzah bin Ku Seman, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sri Suria 1, menaruh harapan yang tinggi agar para pelajar dapat meningkatkan kehadiran pada tahap 100 peratus di samping dapat mengurangkan gejala salahlaku disiplin di kalangan pelajar serta meningkatkan keperihatinan para ibu bapa dalam menangani  isu kehadiran  pelajar ke sekolah.



Tuan PPD sedang menarik tirai banner pelancaran Program 'Jom ke Sekolah'



Wednesday, March 24, 2010

PROGRAM 'JOM KE SEKOLAH' SK SRI SURIA 1

MUKADIMAH
Kejayaan seseorang pelajar selalu dikaitkan dengan pemahaman dan tumpuan pelajar semasa proses prngajaran dan pembelajaran di sekolah.  Hampir semua pelajar cemerlang menyatakan bahawa rahsia utama kejayaan mereka adalah memberi fokus dan tumpuan semasa guru mengajar.  Jesteru, menghadirkan diri ke sekolah merupakan asas dalam menjayakan proses penyampaian ilmu kepada pelajar.  Pelajar yang hadir ke sekolah berpeluang memberi perhatian dan fokus semasa belajar dan sebaliknya pelajar yang hadir tidak akan mendapat apa-apa.  Kevin Paul (1996) menyatakan, “in every bad class there is something to be learned – but not if you aren’t there”.  Malah apa yang lebih membimbangkan ialah pelajar yang tidak hadir ke sekolah atau ponteng sering pula terlibat dengan pelbagai masalah atau gejala social yang lain seperti mencuri, merokok, berpeleseran dan sebagainya.



RASIONAL
Terdapat banyak rungutan daripada pihak sekolah bahawa pelajar-pelajar yang lemah dan gagal dalam peperiksaan merupakan golongan pelajar yang kerap tidak hadir ke sekolah.  Data kehadiran pelajar sk Sri Suria (1) menunjukkan purata kehadiran pelajar adalah        87,4      peratus (purata dari  bulan Ogos 2009 – Feb 2010). Dapatan ini menunjukkan bahawa jumlah yang tidak hadir ke sekolah merupakan satu jumlah yang agak besar. Jumlah peratus pelajar yang tidak hadir ini tentulah pula akan turut menyumbang kepada peratus penurunan kecemerlangan akademik pelajar kerana walaupun sekolah mengadakan pelbagai program ke arah peningkatan akademik pelajar tetapi usaha tersebut tidak sampai kepada sasaran yang sebenar disebabkan mereka tidak hadir ke sekolah.  Justeru, program Jom Ke Sekolah inii diharapkan akan dapat meningkatkan fokus dan keprihatinan pihak sekolah terutamanya Unit Hal Ehwal Murid dalam membantu kecemerlangan sekolah dengan memaksimakan jumlah kehadiran pelajar ke sekolah.

OBJEKTIF
Meningkatkan peratus kehadiran pelajar ke tahap 100 peratus.
Mewujudkan satu sistem pengurusan kehadiran pelajar yang efisyen dalam mengawal prestasi kehadiran pelajar.
Mengurangkan gejala disiplin dalam kalangan pelajar.
Meningkatkan keprihatinan sekolah dan ibu bapa dalam menangani isu kehadiran dan gejala disiplin dalam kalangan pelajar.
Meningkatkan prestasi kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.

SASARAN
Semua pelajar, Semua guru , Pelajar berisiko dan Ibu bapa.

PELAN TINDAKAN PROGRAM ’JOM KE SEKOLAH’
1.1 Pembentukan JK dan Mesyuarat JK ‘Jom Ke Sekolah’ peringkat Sekolah
1.2 Taklimat kepada Ahli Jawatankuasa Program dan semua guru.
1.3 Pelancaran program “Jom Ke Sekolah” peringkat sekolah
1.4 Laporan bulanan kehadiran pelajar (hantar setiap 3hb ke PPD)
1.5 Pemantauan program dan aktiviti sekolah
1.6 Program Khas Pelajar;
1.6.1 Program Ponteng Sifar
1.6.2 Anugerah Kehadiran Terbaik setiap bulan (Pra – Tahun 6)
1.7 Program Khas Keibubapaan;
1.7.1 Surat Makluman/Edaran kepada semua Ibu Bapa
1.7.2 Kempen kesedaran melalui Mesyurat Agung PIBG 2010
1.7.3 Ceramah/taklimat/perbincangan oleh Unit Bimbangan dan Kaunseling
1.8 Pembentangan dapatan/Penilaian (setiap bulan- dilapor oleh PK HEM sekolah ranking ke berapa)
1.9 Sebaran aktiviti dan makluman melalui Laman Web/Laman Blog

Tuesday, March 23, 2010

MAKLUMAN MESYUARAT AGUNG PIBG SESI 2010

Makluman kepada semua warga sekolah, ibu bapa dan penjaga : Mesyuarat Agung PIBG sesi 2010 akan diadakan pada hari Sabtu, 27 Mac 2010. Majlis akan bermula pada jam 8.30 pagi. Para ibu bapa / penjaga dijemput menghadiri mesyuarat di atas. Sekian dimaklumkan. Terima kasih.


Monday, March 22, 2010

KEJOHANAN BOLA SEPAK TQE1

Kejohanan Bola Sepak TQE1 diadakan pada 22 Mac 2010 di SK Sri Suria 1. Antara sekolah-sekolah yang mengambil bahagian adalah pasukan bola sepak SK Alor Pasir, SK Bechah Laut, SK Sri Kelewek, SK Bukit Gading, SK Sri Suria 3 dan tuan rumah, SK Sri Suria 1. Pertandingan dijalankan secara liga dengan 2 kumpulan.



Pertandingan peringkat akhir menyaksikan pasukan SK Sri Suria 1 berentap dengan SK Sri Kelewek dan keputusannya pasukan SK Sri Suria 1 telah keluar sebagai Johan Bola Sepak TQE1. Tahniah dan Syabas kepada Jurulatihnya iaitu Cikgu Azman bin Mohd. Yusoff dan semua pemain-pemain.

                                                                               

Sunday, March 21, 2010

WAKTU P&P BI & BM DITAMBAH MULAI 2011

KUALA LUMPUR – Kabinet telah memutuskan supaya masa pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dipanjangkan mulai sesi persekolahan 2011, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu, yang dibuat pada mesyuarat Kabinet semalam, adalah selaras dengan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) di kalangan pelajar sekolah berikutan pemansuhan pengajian dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris tahun sudah.

Bagaimanapun beliau berkata, masa persekolahan tidak akan dipanjangkan, tetapi akan diolah menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan untuk pelajar. "Kita akan buat pengubahsuaian dari segi kokurikulum selaras dengan perubahan-perubahan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-29 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Masa pembelajaran untuk Bahasa Malaysia (BM) di sekolah rendah dan menengah kebangsaan bagaimanapun akan kekal pada 240 minit seminggu, tetapi bagi pembelajaran Bahasa Inggeris (BI) akan ditambah kepada 330 minit seminggu daripada 240 minit yang dipraktikkan sekarang. Di sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sesi pembelajaran untuk BM akan ditambah dari 270 minit kepada 330 minit seminggu. Bagi BI, ia akan ditambah menjadi 120 minit seminggu daripada hanya 60 minit. – Bernama
Source: Kosmo Online: 20 Mac 2010

SURIA 1 NAIB JOHAN SEPAKTAKRAW TQE1

Pasukan Sepak Takraw Suria 1 telah muncul sebagai Naib Johan pertandingan Sepak Takraw TQE1 yang telah diadakan di SK Bechah Laut pada 25 Februari lalu. Antara murid yang mewakili pasukan sekolah ialah Md. Azim bin Md. Suburi, Md. Afiq Idham bin Salleh, Wan Irfan Masli bin Wan Rosli dan Md. Aidielshazril Hazili bin Md. Anuar.

 Pasukan Sepak Takraw sekolah bersama Jurulatih mereka iaitu Ustaz Erome bin Berhim.

Pemain-pemain sedang menerima pingat daripada Tuan Guru Besar, YM Hj. Tg. Hamzah bin Ku Seman.

Tuesday, March 16, 2010

AMALAN MENAMBAHKAN DAYA INGATAN PELAJAR

*Solat lima waktu.
*Membaca al-Quran.
*Bersugi (berus gigi).
*Membaca sambil mengadap kiblat dalam wuduk.
*Senyum dan tenangkan fikiran sebelum study / belajar.
*Pemakanan yang seimbang yang dimakan menjadi berkat dan menajamkan akal dengan izin Allah.

*Qiamullail antaranya:
1)solat hajat
2)solat tahajjud
3)solat taubat
4)solat istiqarah(minggu peperiksaan)

*Tinggalkan perbuatan maksiat dan bercakap kosong.
*Ulangkaji 2/3 malam dalam keadaan tidak mengantuk.
*Elakkan makanan berlebihan/minuman berkarbonat.
*Banyakkan makan kismis, anggur,madu dan kekacang.
*Doa kepada ibu bapa, doa untuk kejayaan diri.
*Amalkan – banyakkan mathurat, surah al-Waqiah, al-Alaq,  Luqman, Yassin dan al-Insyirah
*Surah Thoha-25/28/20 kali selepas subuh.
*Surah an-Najim-58/41 kali.
*Surah an-Nur-35/7 kali (pagi)7 kali(petang).
*Surah al-Mulk-14/9kali sebelum tidur.
*Minta keredaan ibu bapa dan guru.

Catatan: Eloklah amalkan sentiasa agar mendapat berkahNya dalam menuntut ilmu dan berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang. InsyaAllah.

Friday, March 12, 2010

SELAMAT PENGANTIN BARU

Selamat Pengantin Baru buat staff SK Sri Suria 1, Ustazah Raihan bt Mokhtar. Semoga bahagia berkekalan ke anak cucu. Puan Raihan dan pasangannya telah melangsungkan perkahwinan pada 11 Mac 2010. Seluruh warga Suria 1 mengucapkan tahniah dan selamat berbahagia.
Rombongan pengantin lelaki tiba disambut oleh tuan rumah.
Pasangan pengantin bagai pinang dibelah dua, sama cantik sama padan.

Thursday, March 11, 2010

MOTIVASI: BAGAIMANA DISIPLINKAN DIRI?

1.Tahu apa sebenarnya yang anda inginkan.
2.Kenalpasti bagaimana dan tempoh untuk mencapai sesuatu matlamat.
3.Berjanji pada diri untuk memastikan kejayaan.
4.Sabar dengan segala ujian.
5.Bertekad untuk melakukan dengan bersungguh-sungguh.
6.Menguruskan masa dengan bijak.
7.Sentiasa fokuskan minda anda pada pelajaran anda.
8.Sentiasa berfikiran positif dan yakin pada kebolehan diri sendiri.
9.Buang jauh- jauh fikiran dan sikap negatif.
10.Jangan mudah kecewa atau putus-asa.
11.Belajar daripada contoh-contoh kejayaan orang lain.
12.Bersedia menghadapi segala kesusahan.
13.Imbas kembali harapan tinggi orang yang kita sayangi (ayah dan ibu) untuk mengelakkan anda mengalah dengan dugaan.
14.Berkawan dengan orang yang juga tinggi disiplin.
15.Sentiasa mendapatkan sokongan ahli keluarga.
16.Sentiasa mengingati diri sendiri bahawa anda perlu mencapai impian.
17.Sentiasa ingat janji anda pada diri sendiri untuk menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.
18.Sentiasa menghormati diri kerana orang yang menghormati diri akan sentiasa patuh pada janjinya pada diri sendiri.
19.Jangan leka, lalai atau cuai semasa belajar dan membuat latihan.
20.Lakukan apa yang orang - orang yang berjaya sentiasa lakukan.
21.Berdoa dan memohon bantuan serta petunjuk daripada Allah s.w.t.
22.Istiqamah.

-Adaptasi dari Berita Harian 2003

Wednesday, March 10, 2010

PICS MAJLIS MAULIDUR RASUL SKSS1

Proses penyembelihan dan melapah rusa pada petang Selasa, 9 Mac 2010. Terima kasih kepada semua yang terlibat khasnya kepada Abe Soh CC yang masih sudi menyumbang tenaga buat Suria 1 walaupun telah bertukar ke sekolah lain.

Majlis Maulidur Rasul diadakan pada pagi 10 Mac 2010. Semua guru dan murid berkumpul di Dataran Suria mengaminkan doa yang dibacakan oleh Ustaz Safuan Hassan.

Beberapa orang murid sedang memegang sepanduk bertema Maulidur Rasul sambil mendengar ucapan Tuan Guru Besar, YM Hj Tengku Hamzah bin Ku Seman.

Yg. Berbahagia Ustaz Zawawi bin Abdullah, Pegawai j-QAF, PPD Tanah Merah sedang menyampaikan ceramah seterusnya memimpin selawat dan doa.

Perarakan Maulidur Rasul melalui Taman Jaya Murni, Taman Kiara dan kembali semula ke sekolah. Tuan Guru Besar memimpin perarakan bersama dengan semua guru dan murid dengan kawalan oleh anggota Polis Trafik IPD Tanah Merah. Sekalung terima kasih diucapkan kepada anggota IPD Tanah Merah.

Sekitar persembahan sempena sambutan Maulidur Rasul yang dilangsungkan di surau dan di dewan sekolah yang terdiri dari persembahan nasyid, bercerita, selawat dan hafazan.


Pics guru-guru yang bertukar yang turut sama-sama menjayakan majlis iaitu En. Azmi, En Mohd. Amin dan Pn. Zuriani dan antara persembahan serta penyampaian cenderamata penghargaan kepada murid-murid yang terlibat dalam persembahan sempena Majlis Maulidur Rasul.

Tuesday, March 9, 2010

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1431H

Sambutan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah peringkat sekolah  diadakan pada 10 Mac 2010. Tema tahun ini ialah 'Memantap Ukhuwah Memperkasa Ummah'.

Antara rasional majlis ini diadakan ialah untuk meraikan hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad saw di mana Rasulullah merupakan teras kepada perjuangan para anbiya'. Matlamat sambutan ini ialah untuk menambah ilmu pengetahuan tentang sirah kelahiran Rasulullah saw, menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh terbaik di dalam kehidupan dan menyuburkan rasa cinta terhadap Junjungan Nabi Muhammad saw.

Objektif sambutan ialah menyemai rasa tanggungjawab dalam menegakkan syiar Islam, menyemai rasa kecintaan dan penghargaan kepada Rasulullah saw dan agar murid mengagungi Rasulullah saw sebagai seorang manusia istimewa dalam konsep keagamaan serta melahirkan murid yang taatkan ajaran yang disampaikan oleh Baginda.

Antara pengisian majlis ialah Ucapan Tuan Guru Besar dan Ceramah Maulidur Rasul oleh Yang Berbahagia Al Fadhil Ustaz Hj Mohd Zawawi bin Abdullah ( Pegawai j-QAF, PPD Tanah Merah). Kemudian semua guru dan murid akan berselawat beramai-ramai sambil berarak di laluan yang ditetapkan oleh jawatankuasa. Acara Tilawah Al Quran, Nasyid, Hafazan, Deklamasi Puisi dan bercerita juga diadakan di Dewan Gemilang. Akhir sekali, semua murid akan dijamu hidangan nasi dan gulai sempena majlis tersebut.

Nasyid : Alangkah Indahnya Hidup Ini
 
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku tatap wajahmu
Kan pasti mengalir airmataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku kucup tanganmu
Moga mengalir keberkatan dalam diriku
Untuk mengikut jejak langkahmu

Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Allah hum massali ala Muhammad
Ya Rabbi salim alaihi wa sallim
Allah hum massali ala Muhammad
Ya Rabbi salim alaihi wa sallim

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku dakap dirimu
Tiada kata yang dapat aku ucapkan
Hanya Tuhan saja yang tahu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Ku tahu cintamu kepada umat
Umatti! Umatti!
Ku tahu bimbangnya kau tentang kami
Syafaatkan kami

Alangkah indahnya hidup ini
Andai dapat ku tatap wajahmu
Kan pasti mengalir airmataku
Kerna pancaran ketenanganmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Tak pernah ku tatap wajahmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kami rindu padamu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Terimalah kami sebagai umatmu
Ya Rasulullah Ya Habiballah
Kurniakanlah syafaatmu

Allah hum massali ala Muhammad
Ya Rabbi salim alaihi wa sallim
Allah hum massali ala Muhammad
Ya Rabbi salim alaihi wa sallim.
-Petikan lagu kumpulan nasyid Raihan

Monday, March 8, 2010

SEMOGA FIRDAUS CEPAT SEMBUH

Kepada seluruh warga SK Sri Suria 1, sama-samalah kita doakan agar Firdaus, murid Tahun 2 sekolah ini yang merupakan anak kepada Cikgu Ahmad Rafidi dan Cikgu Azila cepat sembuh. InsyaAllah. Firdaus kini masih dirawat di Hospital Daerah Tanah Merah dan mendapat beberapa jahitan di bahagian hidung dan mulut. Firdaus telah terlibat dalam sebuah kemalangan di Jalan Jedok pada hari Sabtu 6 Mac 2010 lalu. Semoga keluarga Cikgu Ahmad Rafidi tabah menerima dugaan Allah swt. ini.

Firdaus ditemani ibu tersayang.

Takziah juga diucapkan buat PK KoKurikulum, En Nik Ahmad Fuad bin Nik Nawi atas kehilangan mertuanya yang telah pulang ke Rahmatullah pada hari Ahad 7 Mac 2010. Semoga Allah swt cucuri rahmat keatas rohnya. Sama-samalah kita hadiahkan bacaan Al Fatihah buat arwah. Al Fatihah.

LAWATAN REHAT MINDA KE KUALA TERENGGANU

Pada 8-9 Mac 2010, seramai 74 orang murid Tahun 6 bersama 6 orang guru pengiring melawat ke Kuala Terengganu. Guru-guru pengiring terdiri daripada Pn Murnenzai (GBKSM), En Lukmanul Hakim, En Zuki, Pn Faridah Kadir, Pn Tengku Zuraini dan En Mohd Hafizi.

Kumpulan lawatan ini telah bertolak pada 8 Mac dengan 2 buah bas pada jam 8.00 pagi. Dalam rangka lawatan ini, rombongan akan melawat Gong Badak Printing, Muzium Negeri, Taman Tamaddun Islam, Planetarium dan berkunjung ke Pasar Payang, Kuala Terengganu. Rombongan akan bermalam di Damai Guest House, Batu Burok, Kuala Terengganu. Rombongan dijangka tiba kembali ke Tanah Merah pada jam 3 petang pada 9 Mac 2010.


Selamat melawat!

Sunday, March 7, 2010

INSENTIF KEPADA GURU TINGKATKAN PRESTASI SEKOLAH

TANJUNG MALIM 6 Mac – Semua pengetua, guru besar dan guru yang berupaya meningkatkan pencapaian sekolah dari semasa ke semasa akan diberi pelbagai insentif termasuk kenaikan pangkat mulai tahun depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemberian tersebut perlu diberikan secara menyeluruh kerana kejayaan sesebuah sekolah bukan hanya bergantung kepada seorang pengetua atau guru besar tetapi membabitkan kerjasama semua guru.
Beliau berkata, maklumat terperinci berhubung pelaksanaan insentif baru menerusi Pelan Menambah Baik Sekolah-Sekolah itu akan diumumkan pada 16 Mei ini. “Kalau mereka menunjukkan kecemerlangan tak kira di bandar atau luar bandar, ikut ukuran apa yang kita sebut kumpulan-kumpulan tertentu. “Tetapi kalau meningkat sedikit pun (cemerlang) kita akan bagi juga imbuhan kepada guru besar, pengetua dan guru-guru di sekolah itu.

“Maknanya, bukan hanya bagi pengetua atau guru besar tetapi kepada semuanya, kerana kita iktiraf peranan itu bukan hanya dimainkan oleh seorang pemimpin dalam sekolah, sebaliknya semua guru mesti bekerja sama. Kalau (sekolah) meningkat, semua dapat kredit,” katanya. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat Peringkat Negeri Perak di Slim River dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, pemberian insentif tersebut adalah sebagai galakan kepada pihak sekolah tanpa mengira sama ada ia sekolah bandar atau luar bandar untuk bekerjasama dalam mencapai kecemerlangan.

“Kita boleh melihat kalau di sekolah itu ada kepimpinan yang baik, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi mampu meningkatkan pencapaian, maka ia akan diberi penilaian dan akan diiktiraf,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan memberi geran pelancaran kepada pihak swasta yang membuka kelas-kelas prasekolah di negara ini.

Langkah tersebut, katanya, bagi menjayakan matlamat memastikan 87 peratus kanak-kanak yang akan memasuki alam persekolahan dalam tempoh tiga tahun lagi mempunyai pendidikan asas. Selain itu, jelas beliau, kementerian juga akan menampung kos melatih guru-guru yang ditempatkan di prasekolah terbabit.

Terdahulu, dalam pertemuannya dengan warga pendidik di Politeknik Sultan Azlan Shah (Polisas) Behrang, Muhyiddin mahu guru-guru berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan pendidikan. Beliau berkata, langkah kementerian memperkenalkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) adalah sebagai persediaan untuk melonjakkan lagi bidang pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

“Kita minta guru-guru bersama-sama membantu mencapai matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang disasarkan kerana kita tidak mahu juara kampung tetapi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. “Kalau guru-guru bersemangat meningkatkan pencapaian murid-murid dan para pelajar, langkah-langkah ini akan diiktiraf oleh pihak kementerian dan juga layak untuk mendapat imbuhan insentif tahun depan,” katanya. - Source: Utusan Online

Thursday, March 4, 2010

LAMAN WEB VIDEO UNTUK KANAK-KANAK

Laman web yang memaparkan video-video pendidikan dan sebagainya yang bersesuaian dengan dunia kanak-kanak di http://www.kideos.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...