Saturday, January 2, 2010

KELAB CEGAH JENAYAH PADA PERINGKAT SEKOLAH RENDAH



KUALA LUMPUR: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) akan bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan kelab pencegahan jenayah pada peringkat sekolah rendah bagi menyemai budaya antijenayah di peringkat kanak-kanak.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata setakat ini, sebanyak 70 peratus iaitu 3,000 sekolah menengah di seluruh negara sudah menubuhkan kelab itu dan usaha akan terus dipergiatkan dengan kerjasama daripada pihak guru pada tahun ini.

"Kalau kita nak semaikan budaya antijenayah, kita harus mulakan dengan generasi muda. "Justeru, kita akan memohon kebenaran pihak kementerian supaya kelab ini dapat diwujudkan pada peringkat sekolah rendah selain menggiatkan usaha menambah bilangan penyertaan sekolah menengah," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Lee berkata, pihaknya mempelawa badan bukan kerajaan (NGO) untuk bekerjasama melaksanakan program pencegahan jenayah dalam kelompok lebih kecil supaya kesedaran mengenainya menyentuh pelbagai peringkat.

"Kita bersedia membimbing NGO termasuk persatuan penduduk, persatuan perniagaan atau kebudayaan yang ingin mengadakan program dan kita boleh membantu dari segi memberikan maklumat dan garis panduan mengenai pencegahan jenayah.

"Selain itu, kita juga akan aktifkan MCPF peringkat negeri supaya lebih banyak program di kawasan daerah dapat dilaksanakan," katanya. Beliau juga berharap pihak polis dapat meningkatkan usaha memerangi jenayah terutamanya jenayah jalanan yang semakin ber-leluasa. "Perlu ada suntikan baru dalam usaha dalam memerangi jenayah termasuk dengan membabitkan orang ramai.

"Kita akan lebih aktif membantu pihak polis untuk mencapai NKRA (Bidang Keberhasilan Utama) mengurangkan jenayah jalanan di negara ini sebanyak 20 peratus," katanya. Katanya, NGO yang berminat untuk bekerjasama dalam penganjuran program pencegahan jenayah boleh menghubungi MCPF di talian 03-22601954.
Source: Utusan Online 2.1.2010

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...